PAMERAN SOLO ALENG TOHARA “FITRI SUATU INFINITI”
DI GALERI SENI INNER JOY ART
PETALING JAYA, 3 JUN 2023 – Setelah 22 tahun bergiat di dalam bidang seni halus, Abdul Jalil Bin Toha, atau lebih dikenali sebagai Aleng Tohara berkongsi 27 hasil seni di atas kanvas dan 27 seni puisi bagi pameran solo beliau, FITRI SUATU INFINITI di Galeri Seni Inner Joy (“Inner Joy Art Gallery”) yang berlangsung daripada 3 Jun sehingga 8 Julai 2023. Pameran ini dirasmikan oleh SN Dato’ Rahman Shaari, Sasterawan Negara ke-15 Malaysia.
Hasil seni Aleng bagi pameran solo ini mengetengahkan luahan hati artist melalui seni visual dan seni sastera yang diterjemahkan ke atas kanvas serta melalui puisi. Bagi Aleng, seni menggambarkan perasaan dan perwatakan sebenar di dalam sanubari seseorang dan boleh diluahkan melalui apa jua medium tanpa had.
FITRI SUATU INFINITI adalah satu tema istimewa yang mengetengahkan hasil seni daripada Aleng yang berupaya melangkaui imaginasi, inspirasi, suasana masa lampau, hari ini, masa kini dan masa hadapan.
FITRI, adalah untuk mengingati kegembiraan di bulan Aidilfitri, memandangkan definisi FITRI itu sendiri menggambarkan fitrah, keaslian, ketulenan, ketelusan dan kemurnian di bulan Syawal, untuk meraikan bulan mulia Aidilfitri.
INFINITI, ialah konsep yang dekat dengan hati, di mana ia merangkumi pengalaman hidup sebenar artis, yang mana pengalaman tersebut tidak ada had limitnya.
Melalui pameran ini, pengunjung boleh melihat luahan hati Aleng melalui hasil seni beliau yang terbahagi kepada lima konsep, iaitu Abstrak Moden, FITRI, Semi Abstrak Flora dan Fauna, RINTIK dan Seri / Bermaya (“Radiant / VIbrant”). Setiap hasil seni daripada Aleng mempunyai maksud yang tersirat, yang turut diluahkan melalui puisi karya Aleng sendiri.
“Saya amat berbangga dengan Aleng yang bergiat aktif di dalam bidang seni. Aleng berupaya menggabungkan unsur seni visual dan seni sastera, satu kebolehan semulajadi yang mengagumkan. Aleng mahir dalam seni lukis dan seni puisi. Gabungan kedua-dua genre ini menambahkan penghayatan seni yang sememangnya tidak ada had limitasi minda mahupun perasaan. Dengan kata lain, Aleng telah menghidupkan keindahan sastera dan keindahan seni visual, melalui kreativiti bergandanya”, kata SN Dato’ Rahman Shaari, Sasterawan Negara Malaysia, yang juga merupakan mentor sastera bagi artis Aleng Tohara.
“Pameran solo Aleng ini memang unik, kerana para pengunjung akan dapat menyelami hasil seni abstrak dengan lebih mendalam melalui hasil nukilan puisi Aleng bagi setiap karya seni lukisnya. Aleng telah menghasilkan seni yang melangkaui pandangan visual melalui pameran solo ini. Pengunjung yang berupaya menghayati kedua-dua karya seni dan puisi akan dapat merasai pengalaman hidup Aleng sebagai seorang penggiat seni, penyair dan tenaga kerja pendidikan khas di Kementerian Pendidikan Malaysia pada masa ini. Itu yang kami hendak ketengahkan juga - bahawa melalui karya seni, anda boleh merasai dan menghayati pengalaman hidup seseorang artis juga”, kata Dymphna Lanjuran, Pengarah Seni dan Kurator Galeri Seni Inner Joy.
Aleng Tohara ialah seorang penggiat seni dengan sentuhan tangan yang indah dan halus. Aleng mula berkecimpung di dalam bidang seni pada tahun 2001 semasa beliau memulakan pengajian tinggi beliau di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Reputasi, dan pengumpul karya hasil seni Aleng semakin meningkat melalui perkongsian secara lisan dan media sosial, berkat bakat semulajadi serta usaha konsisten Aleng untuk terus memajukan dirinya.
Pameran FITRI SUATU INFINITI merupakan pameran solo Aleng yang pertama bersama dengan Galeri Seni Inner Joy dan ia dijangka akan menarik ratusan pengunjung.
Semua penggemar seni visual dan sastera dijemput hadir ke Galeri Seni Inner Joy untuk menikmati hasil seni dan karya puisi Aleng Tohara. Pameran solo Aleng Tohara, FITRI SUATU INFINITI berlangsung daripada 3 Jun sehingga 8 Julai 2023 dan dibuka untuk lawatan secara temujanji dengan pihak galeri.
Keseluruhan koleksi karya seni dan puisi Aleng Tohara di dalam pameran solo ini boleh juga dihayati secara virtual di dalam laman web galeri DI SINI.
- TAMAT -
Tentang Galeri Seni Inner Joy
Galeri Seni Inner Joy (“Inner Joy Art Gallery”) ialah galeri seni kontemporari yang moden dan ramah pengunjung di Petaling Jaya, Selangor. Galeri ini dibuka sejak 2019, dengan fokus untuk mengetengahkan perasaan gembira yang telus, yang dirasai melalui penghayatan karya seni. Dalam masa yang sama, karya-karya seni yang dipilih untuk dipamerkan di Galeri Seni Inner Joy adalah karya yang mempunyai maksud tersendiri - yang berupaya membuat peminat seni menghayati seni itu melalui perasaan sanubari mereka sendiri. Dengan memberi fokus kepada pengalaman pengunjung ke galeri, hasil kuratorial di Galeri Seni Inner Joy sentiasa unik, lain dari yang lain, di mana ia membawa bersamanya tema, mesej dan cerita yang bermakna serta ikhlas untuk dikongsi daripada jiwa tersendiri para artis kepada semua pengunjung / peminat seni. Galeri Seni Inner Joy mengamalkan kepelbagaian dan kemasukan (“diversity and inclusion”). Oleh itu, artis-artis yang terpilih untuk mengadakan pameran di Galeri Seni Inner Joy datang daripada pelbagai latar belakang pendidikan, kepelbagaian etnik, dan juga keupayaan mental serta fizikal.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari laman sesawang, www.innerjoyart.com.
MEDIA CONTACT
Dymphna Lanjuran, Pengarah Seni & Kurator
Tel : 011 377 33 931
Emel : hello@innerjoyart.com